Jun 20, 2015

hidup namun mati.

Hidup ini suatu ironi andai kata kau hidup namun mati. Ya, hidup dan dalam masa yang sama jua kau mati. Ironi bukan?

Baik. Sebelum aku terus bicara rancak, inginku bekalkan suatu pesan. Aku berniat tidak untuk mengambil tugas mutlak Tuhan. Urusan menghukum adil manusia serahkan sahaja bulat-bulat kepada Yang Maha Adil, yang selayaknya menilai tiap peri inci sosok tubuh manusia –  luar dalamnya, zahir batinnya, baik buruknya – pendek kata segala-gala, serah sahaja ke Dia.

Pesan kedua, ingatan sesama. Ketahuilah, bahawasanya aku ini jua seperti kalian. Sama-sama manusia. Beza kita, mungkin yang jelas dan nyata adalah melalui zahirnya kita, luaran semata. Manakala perbezaan batin atau dalaman, berbezakah kita? Itu, kalau mahu dibahas, kembali rujuk pesan pertama. Aku malas ulas lagi berjela.

Kembali pada kalimah dalam ayat pemula di perenggan teratas; “hidup namun mati”. Bunyinya ironi sekali. Sekilas, mungkin ada yang melihatnya seperti kerangka manusia tak berdaging yang hidup. Atau cadaver di muzium anatomi yang bangun daripada tidurnya yang diganggu, allergic barangkali dengan latex lantaran glove yang dipakai oleh individu yang meratah tubuh kekar/jelitanya.

Atau barangkali “hidup namun mati” itu hanyalah simbolik kehidupan semata. Mana mungkin kau hidup dan dalam masa yang sama kau mati. Heh. Aneh, sungguh aneh sekali. Melainkan kita berada dalam ruang lingkup yang berkata hal “mati, hidup kembali”, aku yakin bunyinya jauh dari asing. Malah ada yang punya cerita masing-masing.

Aduh, macam meleret. Macam jauh pusing.

Di mana kita?—
Oh, ya. Hidup namun mati.
Mati dan dalam masa sama, hidup.

***

Hidup namun mati; terasa dekat bila kita merujuk kepada sang jantung, al-qalb. Seketul daging yang letaknya di bahagian dada kiri dipelihara kemas di dalam kerangka rusuk manusia. Punya empat rongga, memacuh darah – masuk dan keluar – ke segenap anggota.

Siapa tahu, dalam hidupnya seseorang itu, rupa-rupanya dia tengah menjalani hidup dalam keadaan jantungnya mati. Hidup serba celaru, rancu. Fikiran keliru serba tidak menentu. Ah, jangan bilang kau tidak pernah merasa begini! Melainkan kau punya hati bersih persis salju di musim sejuk yang memutih. Hidupmu tiada pernah terkeji, suci.

Sedar atau tidak, disebabkan matinya jantung ini, lantas kemelut memamah diri. Dikit demi dikit, jika tiada tindakan diambil – you didn’t do the CPR, no life support was given – bersedialah dengan kemurungan hidup yang kian membusut, lebih parah lagi akan mengambil masa untuk pulih dan susut.

Dan semuanya akan berbalik semula kepada isu “mengapa sang jantung boleh mati?” Mengapa ya? Mengapa sang jantung ini bisa mati?

***

Di ruang ini, dirinya menjadi semakin kacau bilau. Compang campingnya, kusut masainya, serabut. Namun mata meliar seperti harimau mencari mangsa; mangsa untuk dipersalah atas mati jantungnya.

Lalu jari manusia itu rakus menelunjuk kepada si Masa Lalu.

“Kau. Ini kau! Ini semua salah kau! Kau punca segala-gala. Kau ialah lembah gelap yang datang menompok pada jantung ini. Kau! Kau punca jantung ini mati. Kau keji, wahai Masa Lalu. Melampau!”

Masa Lalu hanya mampu tersengih melihat telatah si manusia tidak sedar diri itu. Menyalahkan entiti tidak berkontur sedangkan salah manusia sendiri yang bergelumang dengan dosa kotor. Goblok sungguh manusia ini. Mahu dikasihani, namun suka saja memperbodohkan diri. Masakan Masa Lalu bertindak sebagai pelaku? Seharusnya pelakunya selayaknya ialah manusia, yang punya tubuh cukup sempurna. Maka, sebetulnya salah siapa?

Kemudian jari kembali rakus menelunjuk ke ruang yang kosong. Lapang & lopong.

Tiada apa yang ingin dipersalahkan lagi. Mereka yang dulu ada di sampingnya ternyata terlebih dahulu mengundur diri, membawa jasad mereka jauh mara bertapak dan yang tinggal kini cumalah ruang.

Buntu.

Walhal itulah sebenarnya jalan untuk membawa keluar dirinya dari dibelenggu.

Ruang itu ternyata ada, teristimewa untuk dirinya dan sang pencipta; untuk merintih dan memperdengarkan segala kisah-kisah duka, menagih kasih & bercinta dengan pencipta rasa cinta.

Soalnya, sedarkah tidak kewujudan ruang itu, wahai manusia?

***


Dasarnya, hati sifatnya berbolak-balik, dan manusia sifatnya lemah & sering khilaf. Manakala syaitan & nafsu pula kan selalu datang menguji. Oleh itu, peliharalah diri, bersiap-siagalah mengawasi, agar jantungmu tidak mati!

***

p/s- "Hidup Namun Mati" ini merupakan salah satu tulisanku dalam zine Katalis (kolaborasi bersama sahabatku, Syaufiq @ Syaef).