Mata masih terbuka, tangan dan kaki masih 'tergari' di meja, otak dari siang tadi rasanya bertungkus-lumus meneliti tiap perenggan kata, melumat-lumat kemas setiap fakta, memproses dan mengelaskan semua data dalam kotak minda, menolak tepi mana-mana yang rasanya terkeluar dari tunjang utama. Pendek kata berusaha sebaik mungkin mendalami ilmu sempena ujian bertulis yang bakal tiba.
Mata masih memandangkan buku Fisiologi Tahun Dua berkulit kuning bertona merah di atas meja. Kali ini dibiarkan buku yang membacanya sedang fikirannya jauh melayang entah ke mana. Agaknya sudah sampai di Malaysia terlebih dahulu meninggalkan jasad yang masih berada di bumi Ardhul Kinanah.
Sesekali resah datang menyapa. Duduknya jadi kurang senang, macam ada ulat bulu di bawah baju. Asyik-asyik dibetulkannya cara duduk. Kalau tadi kaki lurus ala-ala tengah bersanding, kali ini disilang pula ala-ala seorang taukeh kayu balak. Tangan mencapai hidangan minuman kegemaran; kopi. Antara item wajib semasa tengah dalam pertarungan.
Tangan gatal menari atas papan kekunci komputer riba. Lalu digerakkan tetikus untuk membuka tab baharu pada Encik Google Chrome. Ditaipnya 'Twitter' lalu dimasukkan e-mail berserta kata laluan. Terlihatnya satu rangkaian yang dipos dalam setengah jam yang lepas, lalu dibukanya. Ya, selang tiga puluh minit belajar akan dihadiahkan lebih kurang lima belas minit untuk berehat. Baginya masa itu sudah mencakupi untuk mengembalikan amount O2 yang kurang mengalir melalui salur darah ke otak (alasan).
"Eh, kakak post gambar mak!" Dilihatnya si abang sudah terlebih dahulu memberikan komen, si adik pun tidak mahu ketinggalan. Tapi saat dilihat gambar itu, hati pula menjadi sayu. Ditambah pula komen si abang pun mengatakan yang dia pun berasa sayu.
"Rindu!" - sekadar bermonolog dalaman. Itu frasa untuk menggambarkan perasaan yang tertanamkan.
Selang beberapa saat, kelopak matanya dirasakan hangat. Tanda-tanda kelenjar air mata sedang dalam proses mengeluarkan ejen pembersih mata dengan ligat. Perasaan kian menyengat!
"Sila bertahan..." pesannya buat diri. Risau-risau ahli biliknya menangkap perbuatan lagak anak kecilnya. Kali ini dia mengaplikasi mekanisma menenteramkan diri; bernafas. Dihirupnya udara ke dalam paru-paru lalu dihembus perlahan separa laju. Dia mahu simpan dan terus membiar keinginan itu terbuku lalu dibiarkan membeku. Cuma yang membuat dia resah peringkat ketiga andai kata perasaan yang sudah beku itu jatuh, tidakkah 'bongkah perasaan' itu akan retak seribu?
***
Sampai saat ini diri masih tercari-cari, terpinga-pinga mencari kepingan diri yang hilang, tercicir sepanjang dalam perjalanan barangkali. Perjalanan hidup yang baru kini melangkau awal 20-an, dalam usia ini diri masih lagi mentah dan penuh rasa keraguan (andai tiada pedoman).
Sudah menjadi kebiasaan, hidup yang tersasar jauh perlu kembali berpaut pada pasak yang kukuh. Maka terimbas kembali suatu ketika dahulu. Saat dunia masih belum tersedar akan kehadiran diriku. Segala peristiwa sejarah yang bakal berlaku telah dicatat di dalam Buku lantas Roh ditiup, dihembus ke dalam jasadku. Pada detik itu aku masih lagi di dalam simpanan yang kukuh. Ya, benar! Di dalam simpanan yang kukuh. Yakni terjaga rapi dalam kandungan ibuku.
Setelah aku lahir ke dunia, kata nasihat ibu itu aku anggap sebagai panduan hidup.
Kata ibu "Jangan," maka itu aku elakkan.
Kata ibu "Teruskan," maka itu aku tekankan.
Kata ibu "Bagus, baik," - seumpamanya, itu aku anggap dorongan.
Kata ibu "Tidak baik, usaha lagi," - seumpamanya, itu aku perbetulkan.
Secara holistik, dunia bukan sekadar bermain dengan fikiran mantik, tapi disusun atur dengan tunjuk ajar yang cantik daripada seorang ibu - yang sudah tentu dipinjamkan dia ilham daripada Tuhan Yang Satu (Esa).
Demikianlah, seorang ibu itu punya tanggungjawab serba boleh. Malah sudah menjadi tanggungjawab untuk mendidik anak-anaknya supaya punya hidup sentiasa terarah.
Besar sumbangan ibu, tapi hati ini terasa kecil memikirkan sejauh mana aku pernah membalas jasanya yang tidak terhingga.
Lantas aku memasang cita. Membalas budinya meskipun perlu bertarung nyawa. Semoga hasrat akan tercapai jua dan sudah semestinya semuanya perlu berteraskan kehendak-Nya.
Wahai Diri, teruskan berusaha dan berdoa dan berserah kepada Yang Maha Kuasa!
Moga dipanjangkan usianya; ibuku yang tersayang. :')
***
Lamunan akhirnya disergah. Rupa-rupanya diperhatikan sejak tadi oleh ahli biliknya. Lalu ditoleh ke arah rakannya itu, buat-buat gaya menarik muka. Merajuk, sebab terkejut beruk!
"Kau ni suka sangat mengelamun..."
"Suka hati aku lah!" mukanya masih lagi masam mencuka.
"Kau ada menangis tadi kan?"
"Mana lah ada!" langsung disembunyikan mukanya dari pandangan ahli biliknya.
"Habis pipi tuh?"
Nampaknya sekarang ini dia sudah tidak perlu risau pasal 'bongkah perasaan' itu. Hakikatnya 'rindu' bukanlah objek asing buat manusia dan sudah tentu semua orang memiliki perasaan itu. Mujur punya teman yang memahami isi hati. Sudah tidak perlu risau lagi. Hi hi hi.
***
Hari ini diri aku telah terbaca satu artikel bermauduk pengorbanan ibu bapa tidak ternilai coretan IM Asyraf. Dalam artikel itu terselit ayat yang dipetik dari Kalamullah;
“Dan Kami telah menasihati manusia supaya berlaku baik kepada kedua-dua orang tuanya ketika mana ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan yang teramat berat keperitannya dan (mengarahnya) untuk memutuskan penyusuan setelah (bayi) berumur dua tahun, maka syukurlah kamu kepada-Ku dan seterusnya kepada kedua-dua ibu bapamu dan kepada-Ku kamu akan kembali.” {Surah Luqman, 31 : ayat 14}
“Janganlah kamu berkata kepada keduanya (ibu bapa) dengan perkataan ‘ah’ dan janganlah pula kamu mengherdik mereka. Bercakaplah kepada mereka dengan perkataan yang mulia.” {Surah al-Isra’, 17 : ayat 23}
Moga sama-sama kita renungkan dan amalkan. Kerana cinta bukan sekadar diungkap dengan perkataan, tapi dimanifestasi melalui perbuatan. :)
| Latest picture! :') Oh God, miss her so much... |
P/S - Selamat Hari Ibu dan Hari Guru buat ibuku, Rinie binti Yunus. Semoga dirahmati Allah selalu dan dipinjamkan kekuatan untuk melihat kami semua adik-beradik berjaya kelak bersama-sama ayah yang kusayang. InshaAllah. Take care! ILY, always! :)
P/S (again) - ILY too dad! Hehehe :P Syukran for everything. You're the strongest dad that I ever have! :')
P/S (again) - ILY too dad! Hehehe :P Syukran for everything. You're the strongest dad that I ever have! :')